Sunday, August 30, 2015

Catatan NTG.Warna Kemerdekaan








Warna Kemerdekaan.
Detik menghitung hari menyambut ulang tahun kemerdekaan negara saya merenung fikir.
Mencari dan cuba memaknakan erti kemerdekaan itu.Akal fikir saya buntu dan kandas.
Sekian lama  yang jelas  erti kemerdekaan itu boleh dikatakan sifar.Kita-kita ini masih
terjajah dalam kerangka kebodohan dan kerakusan.
Hendak didiamkan salah tidak bersuara,jiwa meronta.Dalam keadaan sekarang jika suara kita
bernada lain dengan aliran pemerintah,chop derhaka terus.Kalau boleh rakyat jangan berbunyi
main ya belaka.Namun begitu dimana ada ruang saya akan terus berbunyi bagi pihak alam
yang semakin tenat sakitnya ini.
Memperjuangkan alam sekitar itu jurusan saya.Catatan ini cerita warna sakit alam sekitar
dalam kontek kemerdekaan negara.Hari demi hari dan tahun berganti alam hijau kita semakin
punah.Kita slogankan kita negara maju,apa ertinya bila lestari alam kita punah.
Saya ambil contoh persekitaran saya.Sungai Lipis dan Sungai Jelai dulu airnya jernih dan
mewah dengan hidupannya.Dua batang sungai ini merupakan denyut nadi kehidupan
Kuala Lipis.Sungai-sunga ini nilai estitikal  landskap anugerah alam.Pada tahun 60an membawa
ke akhir 80an dua batang sungai ini hidup dengan akitiviti manusia.Di samping tempat mencari
rezeki ia juga menjadi tempat beriadah.Ketika itu Kuala Lipis menjadi sebuah pekan tumpuan
ramai pelancong.Sangat lebat dengan kunjungan pelancong-pelancong dari saentero dunia.
Sebagai seorang pemandu pelancong alamsemulajadi kehidupan saya agak selesa dan lumayan.
Sekarang setelah air sungai itu tercemar dan hutan persekitaran digondolkan bagi tujuan
pembangunan,watak dan wajah Kuala Lipis yang charming dulu pun mati.Industri pelancongan
disini merudum nazak kalau pun tidak mati.Paling tenat  lagi dua buah sungai ini sekarang
terpaksa mengangung lumpur selut kesan hakisan tanah.Di bahagian hulunya akitiviti
perlombongan,penerokaan hutan dan pembinaan empangan sangat rancak.Paling ngeri
menambah kepada kesakitan ini ialah apabila kawasan-kawasan berpaya pun ditimbus.
Dijadikan tapak-tapak projek pembinaan estet perumahan juga rumah kedai.Secara
sinisnya saya guraukan ‘Kuala Lipis pekan sejuta kedai’.Kesan dari penimbusan paya-paya
ini akan membuat laluan air hujan tiada sekatan dan terus ke sungai.Sungai yang banyak
menerima hakisan tanah akan menjadi cetek.Bila musim tenkujuh penerimaan hujan yang lebat
akan memudahkan berlakunya banjir kerana eco system sudah terganggu.Kerakusan
dan kebodohan merupakan kata kunci.Untuk memenuhkan nafsu kita gunakan lesen
‘Kemajuan’ dan ‘Pembangunan’.Kuasa penentu adalah ‘Ringgit’.
Alam kalau kita sakiti ia akan membalas.Kita sudah banyak menderhaka.
Mungkin  saya ini terlalu berkhayalkan novel Stephen King.Faktanya
sekarang orang hendak mandi manda disungai pun dah cuak takut kena kencing tikus.
Ikan dan lokan tidak boleh makan sembarangan kerana ada kandungan racun arsenic.
Hatta anak-anak kita sekarang ini tidak boleh dibiarkan bermain tanah kerana ada penyakit
Melioidosis.Kegalauan ini tahun-tahun kebelakangan ini baru munculnya.
Merdeka ini apa sebenarnya?.Kita giat merubah warana hijau segar syurga kepada warna merah
neraka.Merdeka sangat kah kita bila di masa mendatang anak cucu memaki hamun kita.
Pada ulang tahun kemerdekaan,mereka kencing beramai-ramai di kuburan kita.
Impian kemerdekaan saya kecil sahaja.Saya impikan Kuala Lipis ini menjadi sebuah pekan yang
teduh. Redup di bawah naugan pohon-pohon jati yang rimbun menghijau.Aliran sungai sejernih
airmata.Menjadi kunjungan sekelian bangsa dari segenap benua.Ini sebenarnya yang
menarik pelancong datang bukannya nilai ringgit yang susut.Ya ini mungkin khayalan Mat Jenin.
Tak mengapa,sekurang-kurannya saya punya impian yang mulus.Tidak bangang dibius
rakus.Izinkan saya melayan mimpi pada hari kemedekaan ini.



Monday, August 24, 2015

Catatan NTG




Blues Semalam
    Kerja mencari kayu api ini biasanya akan berserta dengan hal-hal sampingan yang lain.Memetik pucuk-pucuk cemperai bertaruk muda,mengutip kulat sisir yang cambah pada batang-batang getah lembab  dalam proses mereput.Pucuk Chemperai dan Kulat sisir bagi tekak yang berselera kampungan seperti saya merupakan sumber makanan anugerah alam yang superb.Chemperai masak lemak putih berserta udang basah diregukan dengan sambal limau nipis jadikan cicahan ikan bakar,tiga pinggan nasi dalam diam tak sedar langsainya.Kulat sisir dimasak lemak cili padi untuk kepekatan kuah dan kecap-kecap manis serta kan sedikit isi ubi keledek atau kentang.Kalau boleh tanakannya dibuat dalam belanga tanah.Gulai kulat sisir yang telah bermalam dan diperhangatkan ulang berulang ia menjadi semakin sedap regunya pula ikan sepat kering goreng panas-panas.Menyetujui bidalan orang tua-tua kita, mentua lalu pun tidak nampak kerana keasyikan menjamu selera.
    Biji-biji getah bila tiba musim buahnya meletup bagi menebar serak biji benihnya  ia juga akan menjadi kutipan saya.Selain dibuat alat permainan biji getah ini juga enak dimakan,Isi biji getah dengan kaedah proses pemeraman ia boleh dijadikan Asam rong,Kaedah memproses asam rong getah dan asam rong biji perah adalah sama.Isi bijian ini akan dijemur kering kemudian ditumbuk lumat seterusnya diperamkan.Asam rong digulaikan dengan ikan-ikan sungai dan siput.Ada juga yang mengulaikannya dengan ayam.Enak dimasak pedas-pedas mengunakan lada kampong.Bahan masakan tardisional ini tersohornya dikalangan warga-warga Pahang barat seperti Jerantut,Lipis dan Raub.
    Pemikiran kami sewaktu zaman kanak-kanak sangat kreatif dan inovatif terutama dalam mereka cipta permainan bagi mengembirakan kami.Sumber alam seperti biji getah ini juga mampu kami hasilkan menjadi satu permainan yang sangat mengasyikan.Selain dijadikan buah congkak dan pertarungan laga biji getah,kami juga ada mereka sejenis permainan yang kami panggil kipas helicopter.Pada biji getah yang dipilih akan kami tebuk lubang berukuran sebesar mata pensil.Lubang-lubang kecil ini kami buat di bahagian kepala,buntut dan tengah biji tersebut.Isi biji getah kami korek buang dan tinggal lah biji getah itu lompong dan kosong bahagian dalamnya.Sebatang lidi dimasukan dari pangkal ke kepala.Pada bahagian tengah dimasukan sehelai benang dan diikat pada batang lidi tadi.Pada bahagian kepala kami lekatkan sebatang tangkai aiskri yang berfungsi sebagai kipas.Benang dipusing lilit pada batang lidi,kemudian kami tarik.Rentak sorong tarik benang ini akan mengakaibatkan kipas bilah tangkal ais krim itu berputar bagaikan pusingan kipas helicopter.Bila pusingan itu rancak ianya akan mengeluarkan desiran bunyi seperti kumbang terbang.Sejenis permainan yang ringkas tanpa perlu keluar duit tapi sangat menyeronokan kami.Fitrahnya duniawi ini tetap ada positif dan nagitifnya,begitu juga biji getah ini ada cerita gelapnya punya unsur-unsur durjana.
Ada ketika kedapatan antara kami yang nakal,biji getah ini akan digosok pada lantai simen,geselan ini akan membekaskan haba panas.Biji getah yang sudah terkesan dengan haba ini kemudianya akan dicucuh pada angota badan rakan.Panas haba itu perit dan boleh mengeletik kesakitan pada siapa yang terkena,Gurauan kasar ini silap langkah boleh maembawa pergaduhan.

                                                                                 bersambung..



Thursday, August 20, 2015

Blues Brothers




Jumaat tanggal 21 hb Ogos 2015,setelah sekian lama saya membiarkan Paradise Theater ini sepi, hari ini saya menjenguk dan membukanya kembali.Hasrat membawa ceritalayar dengan wajah yang baru.Disini akan saya catatatkan nukilan2 ringkas yang mana di masa mendatang ingin saya jelmakan menjadi naskah buku.Moga tuhan menurunkan izin dan memberkati.
Menceceh di Facebook sudah punya rasa menurun moodnya maka saya kembali ke sini.Yang tersimpan di benak punya dua cerita setakat ini.Dari dua kisah ini akan saya muat turunkan siri catatannya di layar Paridise Theater bagi tatapan anda.

Cerita pertama berkisar tentang liku perjalanan hidup saya berserta pengalaman menjadi Nature Guide lantas terjerumus menjadi pencinta alam tegar.Ini antara usaha saya menyemai bakti kepada perjuangan memulihara kelestarian alam hijau kita.Judulnya sudah hadir di kotak pemikiran saya cuma biarlah ianya tersimpan disitu hingga saat kelahirannya tiba.Sebagaimana layaknya pasangan suami isteri yang sudah punya nama bagi anaknya yang bakal lahir cuma setelah lahir barulah dititipkan sebuah nama.Manisnya begitu.

Cerita kedua berkisar tentang kisah-kisah tentang mereka yang mengalami kurang upaya mental.Surahnya akan saya salurkan secara santai dan ringgan.Cerita dari kelompok terpinggir ini banyak ragamnya dan jika kita terlusuri sebenarnya pesanan tuhan banyak yang perlu kita kutip dari situ,agar kita dapat mengenal diri sendiri.Naskah ini umumkan terus judulnya kerana ada ketika kita wajar juga bersifat polos dan langsung.
Pendekatan polos dan langsung ini bersesuaian dengan tema dan falsafah nukilan ini.Naskah ini saya judulkan "Cerita-cerita SERT".Perkataan Sert ini dikalangan warga asal Kuala Lipis dan barangkali dalam ruang lingkup sekitar daerah Pahang Barat semua maklum akan maksudnya.Sert berasal dari perkataan Inggeris "Short".Lebih tepat lagi dari perkataan SHORT CIRCUIT.
Kejadian litarpintas difikiran sesorang kami jenamakan mereka orang-orang "Sert" idham sebutannya dalam telo lidah warga Lipis.

Oleh yang demikian Paradise Theater ini tayangannya nanti cuma akan berkisar pada dua cerita ini sahaja tidak seperti masa lalu.Bagaimanapun saya mengharapkan anda tetap terhibur dan terus menyokong.Doa anda semua adalah kemenafaatan yang paling berharga buat saya.Semoga kita sentiasa sejahtera dalam lindungan yang maha Esa.